Jumaat, 26 Disember 2008

HIJAUNYA BUMI KITA

Baru-baru ini saya mengikut keluarga ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen (SMKTS) untuk membantu mereka menjalankan operasi membersih. Fuh, sudah lama diri ini tidak menjejakkan kaki ke sana. Saya masih lagi ingat di SMKTSlah tempat pertama saya melanjutkan pelajaran pada peringkat menengah pada tahun 2001. Tujuh tahun telah berlalu pergi. Namun begitu, keadaan SMKTS tidak pernah menghampakan saya. Malahan lagi, persekitarannya semakin indah dan menghijau membangkitkan rasa teruja saya untuk menerokai semula panorama yang begitu cantik ini.

Ketika saya melangkah ke sebuah tempat di sana, terhamparlah satu pemandangan yang sangat menarik dan menyegarkan. Terbentang di hadapan mata saya kehijauan dan keharuman aroma semulajadi tumbuhan herba yang ditanam.

Stesen Herba SMKTS
Lambaian daun pokok Durian Belanda (Annona muricata L) menyambut kehadiran saya ke stesen tersebut. Terdapat banyak tumbuhan tidak kira tumbuhan berbatang, renek, dan berumbisi juga tidak ketinggalan ditanam. Ada beberapa lagi spesies tumbuhan herba yang sempat saya ambil gambarnya. Lihat gambar di bawah:

Tongkat Ali Putih

Limau Purut

Pokok Bunga Kenanga (DALAM GAMBAR: Adikku, Nina)

Pokok Orkid Putih dan Orkid Merah

Erm, jika difikirkan kita amat beruntung kerana masih lagi dapat menghirup udara segar dan menatap segala macam jenis flora yang hidup subur dan melata ini. Jika saya mengalihkan pandangan ke tempat-tempat yang lain, maka kita tidak berpeluang langsung mengenali ciptaan Allah ini. Di bandar-bandar besar, hanya kelihatan hutan-hutan batu dan bunyi bising deruman enjin kenderaan yang bersimpang-siur dan tidak berhenti-henti.

Jika anda tidak percaya, pencemaran teruk telah berlaku di bandar-bandar utama ini. Saya pergi ke Kuala Lumpur pada Hari Raya Aidiladha yang lalu. Setelah bertolak pada waktu pagi dan menghabiskan tempoh sehari di sana atas urusan penting, saya pun pulang ke Segamat. Setibnya di rumah, saya ke bilik air dan mengambil sehelai tisu muka lalu mengelap wajah. Terkejutnya saya apabila terdapat banyak kotoran yang melekat pada pipi. Hitam pula tu!!! Saya termenung sejenak. Benarlah kata orang bahawa Kuala Lumpur bukanlah bandar raya yang bersih seperti yang diuar-uarkan!

Oleh itu, saya menyeru kepada sahabat sekalian dan sesiapa sahaja supaya menanam tanggungjawab dalam diri untuk cintakan alam sekitar yang tidak ternilai harganya ini. Kita amat beruntung Malaysia terletak pada garisan Khatulistiwa yang membolehkan tumbuhan hidup subur kerana cukup cahaya matahari. Keindahan hutan malar hijau kita perlulah dipertahankan agar menjadi tatapan generasi akan datang.

Tiada ulasan:

.