Khamis, 25 Disember 2008

MENGHITUNG HARI


Tahun 2008 hampir melabuhkan tirai. Tahun 2009 semakin tidak segan silu menampakkan jasad. Saya semakin menghitung detik dan waktu untuk pulang kembali ke medan pertempuran menuntut ilmu demi mengejar impian menggapai cita-cita yang murni ini. Sekarang ialah 24 Disember 2008. Bermakna tinggal beberapa hari sahaja lagi untuk saya meninggalkan bumi Johor yang permai dan dicintai ini dan kembali ke bumi Pakatan Rakyat, Perak. Hehe...(bergurau). Dengan tiada apa-apa maklumat berkaitan yang diperoleh daripada pihak institut, maka saya seperti anak kehilangan ibu - Tidak tahu mana hendak bergantung nasib.

Semua ini gara-gara kerenah birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian pihak Institut Perguruan Ipoh Perak (IPIP). Diperincikan lagi Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP). Dua minggu lepas, saya ada menelefon pihak HEP. Hajat di hati ingin bertanya mana tahu sudah ada maklumat terbaru berkenaan pengajian saya tahun hadapan. Setelah talian interkom dari kaunter utama disambung ke HEP, inilah sebahagian daripada perbualan yang saya masih ingat:

IbnRubaee: Hello, assalamualaikum.

HEP: Waalaikumussalam.

IbnRubaee: Saya Hafizzuddin dari Johor, pelatih unit G PPISMP Semester tiga ambilan Julai 2007.

HEP: Ya, ada apa yang saya boleh bantu encik.

IbnRubaee: Ya, saya ingin bertanya kepada pihak encik tentang maklumat yang diperlukan untuk pengajian ijazah saya pada tahun hadapan.

HEP: Eh, kami tidak tahu menahu tentang perkara ini. Cuba awak bertanya kepada penyelaran unit G untuk maklumat lanjut.

IbnRubaee: Eh, kalau tak silap, sebelum cuti telah diuar-uarkan bahawa pihak HEP akan menghubungi pelatih untuk memaklumkan pengajian mereka?

HEP: Tapi kami memang tidak tahu menahu tentang perkara ini encik. Macam yang saya kata tadi, Encik hubungi penyelaras unit encik.

IbnRubaee: Baiklah encik. Terima kasih atas bantuan yang diberi.

HEP: Sama-sama.

Erm, begitulah sedikit sedutan perbualan antara saya dengan pihak HEP. Setelah meletak gagang telefon, saya terduduk dan berfikir sejenak.

Sesungguhnya saya berasa sangat kecewa dan langsung tidak berpuas hati dengan sistem penyampaian IPIP. Lebih spesifik lagi Jabatan HEP. Kata orang kaki putar alam. Suka cakap putar belit. Kejap itu kejap ini. Mana satu yang betul saya pun tak tahu. Masing-masing hendak melepaskan diri masing-masing. Itu belum lagi masalah dalaman dan kredibiliti staf jabatan tersebut. PARAH!!!

Dengan cuti berbaki beberapa hari lagi saya menanti dan terus menanti apakah yang kezutan yang akan dilakukan oleh pihak IPIP untuk unit kami ini. Nampaknya kehadiran pasukan audit SIRIM beberapa bulan sudah ke IPIP tidak menampakkan hasil. Dengan kata lain hakikat yang harus diterima ialah mereka masih lagi belum berada pada tahap piawaian sebenar yang ditetapkan oleh SIRIM. Menyampah aku!!!

Apa pun saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat menghebahkan sedikit maklumat melalui e-portal IPIP di alamat www.ipip.edu.my. (Encik Bad kot yang buat hebahan tu).

Tiada ulasan:

.