Sabtu, 3 Januari 2009

AKHIRNYA...

Alhamdulillah...sepenuh rasa syukur dan tahmid saya panjatkan ke hadrat Allah s.w.t setelah perjalanan dari 'Abode of Dignity' ke 'Land of Grace' selamat diharungi. Saya sangat terperanjat dan terkejut tatkala bas yang saya naiki sampai di Terminal Bas Ekspres Medan Gopeng tepat jam 2.00 pagi! Sebelum ini, perjalanan seumpama tersebut mengambil masa hampir 9 jam. Namun begitu, tempoh 4 jam telah sirna dan menerbitkan durasi perjalanan yang lebih pendek pula. Sungguh cekap Cepat Ekspres Sdn. Bhd. memberi khidmat kepada penumpangnya. Syabas!!!

Termenung diri ini di terminal tersebut hampir dua jam tatkala sampai terlalu awal dan sungguh tidak dijangkakan sebegini pantas. Kemudian, saya mengambil keputusan menggunakan perkhidmatan teksi untuk pulang ke institut. Setelah saya sampai di hadapan pintu pagar utama Institut Perguruan Ipoh (IPI) dan membayar tambang sebanyak RM20, langkah diatur ke sebuah pondok yang telah lama tidak dijenguk. Sesusuk tubuh manusia bernama Haji Sharif, pengawal keselamatan shif malam sedang tersenyum menanti kehadiranku. Lantas ungkapan salam dilafazkan dan tangan dihulur berjabat tanda hormat. Ramalanku bahawa tiada seorang pelatih pun yang sudah sampai. Namun begitu, sangkaanku ternyata meleset. Bersumberkan maklumat daripada Haji Sharif, beliau memberitahu sudah tiga orang pelatih lelaki sudah kembali. Nampaknya tewas lagi kali ini. Haziq, Syaifuldin a.k.a Koy dan seorang lagi kawannya yang saya tidak ingat namanya. Maaf. Kemudian, Aizat pula menyusul sambil mengomel tak tentu hala dan tidak begitu difahami pertuturannya.

Rasa terkilan tetap ada apabila semua grill asrama masih dikunci. Pandangan dialihkan ke bahagian pejabat penyelia asrama di Blok E. Persis seperti pandangan pertama tadi. Tiada langsung senarai nama waima setitik dakwat pencetak pun terpapar pada papan kenyataan pejabat. Aduh, ke mana pula saya hendak tujui kali ini? Mujurlah ada teman material di sisi yang mengurangkan rasa cuak dan khuatir saya. Yamaha 110SS di garaj. Habis berlapuk dan berkerak tatkala tidak dibelai selama hampir dua bulan. Bak kata sepotong lirik lagu Datuk A. Rahman Hassan, 'Tapi tak mengapa' saya mengatur langkah ke warung di Kampung Batu Lapan untuk menjamah sedikit sarapan pagi.

Rasa rindu kepada makcik dan pakcik yang mengusahakan perniagaan tersebut tidak dapat digambarkan. Hihihi. Barangkali tiada menu roti canai yang sesedap dan selazat buatan tangan mereka. Saya memesan dua keping roti canai dan segelas teh ais. Lalu tangan dipanjangkan mengambil sebungkus nasi lemak daun pisang yang sudah lama tidak disantap. Dengan lafaz Basmalah, saya menjamah dengan sopan dan tidak gopoh. Usai sudah menjamah makanan yang dipesan, saya menghabiskan teh ais dan pergi ke dalam warung untuk membuat pembayaran. Kesemua yang saya pesan tadi berjumlah RM3.70. Masih lagi murah jika dibandingkan dengan tempat-tempat yang lain. Belum tentu saya dapat menikmati harga selumayan itu. Langkah diorak ke arah motosikal yang dirindui dan bergerak menuju ke IPI semula bagi menunggu perkembangan penempatan asrama kami.

Lega rasanya, nasib baik pejabat asrama telah dibuka. Lantas langkah diorak menghala ke sana. Yahoo! Rezeki saya telah datang. Pada tahun ini saya akan menetap di bilik F1-11. Rendah tak rendah. Tinggi pun tak tinggi. Lega, dapat jugak aras rendah. Kunci diambil lalu saya bergerak menghala ke blok F. Kelihatan rakan sebilik (roomate) yang telah lama tidak ditemui, Firdaus keluar dari kereta Proton Wira milik bapanya. Tangan dihulur berjabat tangan bertanya khabar disamping khabar umi dan abahnya. Setelah beberapa ketika, kereta berwarna hitam tersebut bergerak meninggalkan kami. Mereka pulang ke Pasir Puteh, Kelantan untuk membereskan urusan-urusan yang lain.

Barang dipunggah satu demi satu dari aras 3 blok H ke bilik baru kami. Sesungguhnya kepenatan dan keletihan amat dirasai tatkala harta-harta kami diangkat. Ditambah dalam cuaca hujan yang lebat maka cabaran tersebut bertambah berat bagi kami. Sedikit demi sedikit akhirnya kami berjaya memindahkan semua barang yang disimpan dalam stor blok H ke bilik yang baru. Pada jam 11.45 malam kami berjaya mengemas dan memperindahkan bilik baru tersebut.

Tiada ulasan:

.