Isnin, 29 Disember 2008

Belasungkawa

DYMM YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN

Duli Yang Maha Mulia Almarhum Tuanku Ja’afar Ibni AlMarhum Tuanku Abdul Rahman telah diputerakan di Klang, Selangor, pada 19 Julai 1922. Baginda ialah putera kedua Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Al-Marhum Tuanku Muhammad, bekas Yang di-Pertuan Agong yang pertama. Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Seri Menanti, Kuala Pilah dari tahun 1928 - 1933. Baginda melanjutkan pengajian ke Maktab Melayu Kuala Kangsar dari tahun 1933 - 1944.

Kemudian, baginda melanjutkan pelajarannya ke Raffles College Singapura pada tahun 1941, tetapi terganggu kerana Perang Dunia Kedua meletus. Semasa pemerintahan Jepun, baginda berkhidmat sebagai pegawai di Pejabat Tanah, Seremban. Pada tahun 1946 – 1947, baginda bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah di Rembau, Negeri Sembilan. Baginda juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan ketiga di Ipoh dan Pegawai Daerah di Tampin, Negeri Sembilan.

Sebagai insan yang meminati ilmu, baginda meneruskan pengajian baginda yang tertangguhdisebabkan Perang Dunia Kedua dulu, dengan memperoleh Ijazah Undang-undang LL.B di Universiti Nottingham, United Kingdom pada tahun 1951. Baginda juga mengambil peluang semasa berada di Great Britain ini untuk mengikuti beberapa kursus ikhtisas seperti Kursus Pentadbiran di Balliol College Oxford, Kursus Bidang Ekonomi dan Diplomat di Universiti Oxford.



Pada tahun 1952 pula, baginda telah mengikuti Kursus Sains Politik dan Bahasa Perancis di London School of Economics. Sebagai seorang yang dinamik dan berfikiran luas, baginda telah diamanahkan menjawat beberapa tugas penting di luar negara; antaranya sebagai Kuasa Usaha Tanah Melayu di Washington, Amerika Syarikat. Kemudian sebagai Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tetap Persekutuan Tanah Melayu ke Bangsa Bangsa Bersatu di New York dari tahun 1957 – 1958. Baginda juga berkhidmat sebagai Setiausaha Pertama dan Counselor di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi, Tanah Melayu di London, dan kemudiannya pada tahun 1958 hingga 1962 sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di London. Baginda dilantik sebagai Duta Malaysia di Republik Arab Bersatu yang beribu pejabat di Kaherah dari tahun 1963 hingga 1965. Kemudian sebagai Pesuruhjaya Tinggi ke Nigeria dan Ghana dari tahun 1965 – 1967.

Pada 18 April 1967 baginda menaiki takhta kerajaan Negeri Sembilan setelah dipilih menjadi Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus yang ke-10. Pada 10 Jun 1979 baginda dilantik menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda pernah menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong pada 29 November 1979 hingga 29 Disember 1979. Baginda dipilih semula oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 24 April 1989 untuk selama lima tahun. Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 26 April 1994 hingga 25 April 1999.

Pada 8 Ogos 1942, baginda berkahwin dengan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan Negeri Sembilan Tuanku Ampuan Najihah Binti Tunku Besar Burhanuddin, dan telah dikurniakan tiga orang putera dan tiga orang puteri. Putera-puteri baginda ialah Tunku Dara Naquiah, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin, Tunku Imran, Tunku Jawahir, Tunku Irinah, Tunku Putera Nadzaruddin.

Minat dan bakat baginda dalam bidang sukan terserlah sejak zaman persekolahan lagi. Baginda pernah menjadi Johan dalam pertandingan tenis, badminton dan skuasy semasa baginda menuntut di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan di Universiti Nottingham, United Kingdom. Duli Yang Maha Mulia merupakan seorang yang cenderung dalam bidang sukan terutamanya kriket, tenis, skuasy, bola sepak dan hoki serta pernah menjadi juara dalam perlawanan tenis, skuasy dan badminton.

Semasa menuntut di England juga baginda pernah mewakili pasukan Universiti Nottingham dalam perlawanan tenis, skuasy dan badminton. Sementara di Oxford pula, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ja'afar pernah menerajui pasukan badminton. Baginda juga pernah mewakili Perak dan Negeri Sembilan dalam perlawanan kriket dan tenis.

DYMM Tuanku Ja'afar sangat dikasihi oleh rakyat negeri kerana kebijaksanaan, ketulusan hati dan sifat dedikasi baginda. Baginda juga sangat dikagumi dan dihormati oleh Raja-Raja Melayu yang lain dan pemimpin dari dalam dan luar negara. Baginda telah dianugerahkan bintang dan darjah kebesaran serta penghormatan yang berikut: D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.M.N. (Brunei), D.K. (Kelantan), D.K. (Kedah), D.K. (Selangor), D.K. (Perlis), D.K. (Johor), D.K. (Pahang), D.K. (Terengganu), D.K. (Perak), Commander Grand Cross with Collar of the Order of the White Rose (Finland) pada 25 Januari 1995.

Collar of the Civil Merit (Sepanyol) pada 4 April 1995, Order of Sikatuna (Filipina) pada 21 Jun 1995, Collar De La Order Almerito De Chile (Chile) pada 27 September 1995, National Order of the Cruzeiro Do Sul (Brazil) pada 18 Disember 1995, Knight of the Royal Order of the Seraphim (Sweden) pada 12 Mac 1996, dan Grand Cordon (Uruguay) pada 3 Julai 1996.

Pada tahun 1979, Majlis Raja-Raja telah melantik Tuanku Ja'afar sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong. Baginda sekali lagi dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1989. DYMM Tuanku Ja'afar menjadi Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi sejak 16 April 1976. Baginda banyak memberikan sumbangan dengan menggalakkan usaha meningkatkan mutu dan taraf pendidikan negara. Pada 27 Julai 1990, baginda dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang - Undang oleh Ohio Universiti. Pada 22 Jun 1995, Baginda dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang - Undang oleh University of the Phillippines. Pada 21 Julai 1995 pula, Baginda dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang - Undang oleh University of Nottingham. Baginda juga dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang - Undang oleh University of Santiago, Chile pada 28 September 1995. Pada 11 Septmeber 1996, DYMM dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Brunei Darussalam.

DYMM Tuanku Ja'afar dan seluruh kerabat Diraja Negeri Sembilan dikenali sebagai "Keluarga Sukan Diraja". Baginda dan kerabat baginda sentiasa menunjukkan minat yang mendalam dalam sukan kriket, tenis, badminton, skuasy, hoki, golf dan bola sepak, sama ada di dalam atau di luar negara. Anakanda Baginda, YM Tunku Imran, merupakan Presiden Skuasy Dunia selama tujuh tahun.

Disebabkan minat Baginda yang sangat mendalam tehadap sukan golf, Tuanku Ja'afar sering mengambil bahagian dalam pertandingan golf di dalam dan di luar negera. Baginda membantu untuk meningkatkan taraf sukan golf di Negeri Sembilan dengan mempelopori usaha untuk meningkatkan taraf padang golf dan kemudahannya terutama di Kelab Golf Antarabangsa di Seremban. Baginda turut mengambil bahagian dalam Pertandingan Golf Proam Terbuka Malaysia pada setiap tahun sejak mula diadakan. Selama 29 tahun menduduki takhta kerajaan Negeri Sembilan, DYMM Tunaku Ja'afar telah membawa perubahan yang ketara dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri ini. Di bawah pemerintahan baginda, rakyat dan setiap lapisan masyarakat kini menikmati hasil pembangunan dan kemajuan.

Pemergian almarhum amat dirasai

Ajal maut di tangan Allah. Pada pagi 27 Disember 2008, almarhum baginda mengadu sakit kepala dan tidak selesa. Lantaran itu, almarhum baginda dikejarkan ke Hospital Pakar Tuanku Ja'afar Seremban. Namun begitu, Allah lebih menyayangi almarhum baginda. Pada jam 11.45 pagi, almarhum baginda menghembuskan nafas terakhir dan mangkat di sisi Tuanku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Tuanku Besar Burhanuddin dan anak baginda, Datuk Seri Tuanku Puteri Jawahir serta dua cucu. Jenazah baginda akan disemadikan di makam diraja Seri Menanti pada hari Isnin selepas Asar. Bersama-samalah kita membacakan al-Fatihah buat almarhum baginda. Moga roh almarhum baginda dicucuri rahmat dan diampuniNya. Al-Fatihah

Tiada ulasan:

.