Isnin, 1 Jun 2009

SIAPA KATA BELIAU KEBAL???

Tewas mengejut kepada pemain Sweden, Robin Soderling.

PARIS: Juara empat kali tenis Terbuka Perancis, Rafael Nadal tersingkir daripada kejohanan kali ini apabila tewas dalam pusingan keempat kepada pemain Sweden, Robin Soderling 6-2, 6-7, 6-4, 7-6, malam tadi pada hari yang turut menyaksikan satu lagi kejutan apabila juara bertahan wanita, Ana Ivanovic mengikut jejak sama.

Impian Ana - pilihan kelapan dari Serbia - mempertahankan gelaran musnah apabila tewas kepada pemain belasan tahun dari Belarus, Victoria Azarenka 6-2, 6-3 dalam pusingan keempat.

Dalam saingan suku akhir nanti Azarenka akan menentang pemain nombor satu dunia, Dinara Safina yang mula memberi amaran kepada pencabar lain selepas dia mudah menewaskan pemain Perancis, Aravane Rezai 6-1, 6-0 untuk layak ke suku akhir.

Apapun, kejutan paling besar dalam sejarah kejohanan ini pasti kekalahan Nadal ketika pemain nombor satu dunia itu tidak pernah tewas dalam perlawanan di Roland Garros sejak dia membuat kemunculan di gelanggang tanah liat itu pada 2005 dengan rekod 31 kemenangan daripada jumlah 31 sebelum ini.

Drama malam tadi harus menyuntik rasa gembira buat Roger Federer yang tewas kepada Nadal dalam tiga final sebelum ini dan masih perlu menjuarai Terbuka Perancis untuk melengkapkan kerjaya Grand Slam bagi dirinya.

Dalam acara perseorangan lelaki lain, pilihan ketiga, Andy Murray turut mempamerkan prestasi hebat selepas mengatasi lawan dari Croatia, Marin Cilic 7-5 7-6 6-1.

Safina dari Russia yang hanya mencicirkan lima permainan dalam perjalanan ke kelompok lapan akhir, berkata dia masih mampu bermain lebih baik.

“Secara jujur, saya masih berasa mampu melakukan lebih baik. Saya fikir jika ada sesiapa yang mampu memberi cabaran kepada saya, saya akan memberikan aksi lebih baik.

“Secara keseluruhan, saya berasa mampu melakukan servis lebih kuat. Saya fikir saya bermain cukup baik tetapi saya juga berasa mampu bermain lebih baik,” kata Safina. - AFP

p/s: Hahaha...lingkup jua beliau. Pintu kejuaraan terbuka luas sekarang buat pilihan kedua kejohanan, 'The Swiss Maestro', Roger Federer untuk mencatat sejarah menyamai Pete Sampras dengan 14 kejuaraan Grand Slam. Viva Roger Federer!!!


Tiada ulasan:

.